Wednesday 30 December 2009

Tahun baru, Azam baru


Salam,
Kita telah pun memasuki tahun baru hijrah 1431 dan dua hari lagi kita akan masuk pula ke tahun masihi 2010. Dengan pertambahan tahun yang sentiasa silih berganti, sedar atau tidak umur kita pun makin meningkat.Marilah kita memuhasabahkan diri kita tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan kita hingga kini.

Memang kehidupan ini tidak lari dari menghadapi pelbagai masalah. Dan sejauh mana kita dapat mengatasi masalah tersebut, ianya bergantung kepada cara perlaksanaan kita di dalam menyelesaikannya. Maka sempena dengan tahun baru ini, kuatkanlah azam untuk terus berjaya di dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi. Jadikanlah peristiwa yang telah berlaku sebagai landasan dan panduan untuk kita memperbaiki diri kita agar mendapat dan mencapai objektif yang lebih baik lagi.

Lupakanlah segala keperitan hidup dan jadikan sempadan untuk kita lebih berjaya, dan jika kita telah mendapat banyak nikmat dari illahi, bersyukurlah dan jangan lupa kepada nasib insan insan yang tidak sebaik nasib kita. Sentiasalah bersyukur akan apa yang kita ada dan selalulah memberi pertolongan kepada yang memerlukannya, dengan niat yang ikhlas.

Matlamat hidup kita bukan semata-mata untuk kebahagian di dunia sahaja, tetapi jangan lupa akan negeri yang kekal abadi. Di sanalah nanti kita akan hidup selama lamanya. Maka bekalan untuk rohani perlu kita dalami di samping ilmu duniawi agar perjalanan hidup kita seimbang dan berbahagia di kedua alam tersebut.

Akhirnya untuk tahun ini, dan azam yang baru untuk tahun yang baru, marilah kita bersama sama memajukan lagi diri dan bangsa kita agar kita dapat mencapai matlamat kita yang dilahirkan sebagai insan di dunia ini di samping berjaya di akhirat.

sekian

Wednesday 23 December 2009

Takdir..


Salam,
25 haribulan ini genap 100 hari ayahku pergi buat selama-lamanya. Mataku berlinangan dengan titik titik air yang secara tidak sedar keluar tanpa dipaksa bila mengingati peristiwa ini. Ayahku pergi kehadrat illahi kerana sakit di bahagian paru paru yang dialaminya semenjak aku kehilangan ibuku setahun lapan bulan sebelumnya.Kini aku menjadi yatim piatu. Di pagi ini aku amat merasakan kehilangan mereka berdua......

Ibuku pergi setelah disahkan mengidap kanser paru-paru 4 bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 10.1.2008. Bila tiba tanggal 25.12 aku akan mengenang semua kejadian ini kerana pada tanggal tersebut aku pulang ke UK setelah sebulan aku menjaga arwah ibuku di hospital.Masih lagi terngiang ngiang di telingaku akan pesan arwah semasa aku memeluk erat arwah ibuku sebelum aku berangkat pulang untuk meneruskan pengajianku di sini, 'teruskan belajar walauapapun yang berlaku pada ibu..', dan detik itu aku terasa begitu deras airmataku mengalir membasahi bahu arwah. Begitu berat kakiku melangkah meninggalkan ibuku yang masih lagi bertarung dengan penyakitnya. Tetapi masa itu penyakitnya sudah mula beransur kurang dan doctor mengesahkan ada sedikit perubahan. Semasa aku berjumpa dengan doctor, dia mengesahkan yang arwah ibuku tidak akan panjang umurnya. Tapi masa itu aku tidak menjangkakan akan pemergiannya yang begitu cepat setelah 10 hari aku pulang ke sini. Seharian aku menangis dan menangis tanpa dapat berbuat apa2. Sebaik aku menerima panggilan dari kampung, arwah ibuku telah selamat disemadikan. Yang mampu aku lakukan hanyalah mengadakan sembahyang jenazah ghaib dan kenduri arwah. Dan malamnya aku menangis lagi sepuas-puasnya hingga terlelap...

Setelah kejadian itu, ayahku mula tidak berapa sihat. Aku selalu telefon ke kampung dan boleh dikatakan dalam seminggu tu, 2, 3 hari saja yang aku tidak menghubunginya. Waktu itu aku selalu berdoa dan memohon ke hadrat illahi agar aku tidak kehilangan lagi atau paling tidak, tunggulah aku habis belajar di sini. Tapi kita hanya mampu berdoa, Allah jua yang maha berkuasa. Setelah hampir seminggu berpuasa pada tahun ini (2009), sebelum subuh (waktu Malaysia), aku bercakap dengan kakak ku dan dia menyatakan yang arwah ayahku sihat sahaja dan tidak bangun lagi untuk bersahur. Dua hari sebelum itu aku dapat bercakap dengan arwah ayahku, dan arwah bertanya bila aku akan pulang. Saat itulah aku dapat bercakap dengannya buat yang aku tidak tahu bahawa itulah kali terakhir aku akan bercakap dengannya. Aku menerima panggilan sedih semasa aku hendak bersiap siap ke universiti pada keesokan harinya. Semuanya telah selamat disempurnakan. Sekali lagi aku tidak dapat menahan airmataku yang aku biarkan keluar sebanyak banyak nya.

Semuanya berlaku tanpa kemahuan ku. Aku tidak dapat melakukan dua perkara di dalam satu masa. Antara pelajaran dan kedua ibubapaku. Tetapi yang pasi, kedua duanya telah merestui pemergian aku ke sini.Dan sebagai manusia aku tidak mampu untuk menghalangnya. Kepada yang masih ada ibu dan bapa, hargailah mereka. Jagalah mereka hingga akhir hayat mereka. Keluar airmata darah sekalipun, kita tidak akan dapat bertemu dengan mereka lagi jika mereka telah pergi. Yang pasti, kita akan hargai dan merasai kehilangan mereka yang kita sayangi jika mereka tiada lagi di sisi kita. Dan sebagai manusia biasa yang lemah, kita tidak akan dapat melawan qada' dan qadar yang telah dijanjikan. Hanya doa, usaha dan tawwakal sahaja yang mampu kita lakukan.Takdir mengatasi segala galanya.


'Ya Allah ya tuhanku, golongkanlah arwah kedua ibubapaku di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Peliharakanlah arwah mereka berdua sebaik baik nya sepertimana mereka telah memelihara aku dengan sebaik baik nya semasa aku kecil hingga mereka menghembuskan nafas terakhir'-Al Fatihah...

NKRA pencetus kegemilangan negara


Salam,
Langkah kerajaan memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baru baru ini adalah tepat pada masanya. Enam bidang tersebut adalah memperkasakan prasarana luar bandar dan pendalaman, menambah baik pengangkutan awam, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, memerangi rasuah, mengurangi kadar jenayah dan kadar kemiskinan.

Rakyat perlu diberikan penerangan melalui risalah, akhbar dan media electronic tentang kesemua bidang ini di mana sahaja mereka berada dari masa ke semasa supaya mereka faham dan bersama berganding bahu untuk menjadikan Plan Tranformasi Kerajaan (GTP) ini menghasilkan kejayaan.

Memerangi rasuah adalah perkara pokok di dalam merealisasikan kesemua enam bidang tersebut. Ini adalah kerana kesemua bidang tersebut adalah berkait rapat dengan perlaksanaan yang akan melibatkan pegawai kerajaan dan juga swasta serta rakyat yang perlukan keikhlasan untuk bersama menjadikannya suatu realiti.

Mengurangi kadar jenayah adalah kedua utama kerana ianya melibatkan soal keselamatan rakyat dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Rakyat yang sihat dan selamat adalah pemacu kepada kenaikan pendapatan negara kerana menarik minat pemodal asing untuk melabur dalam jangkamasa yang panjang.

Jika dilihat di UK ini, kadar jenayah adalah terkawal. Memang tidak dinafikan kadar jenayah adalah lebih tinggi di bandar besar tetapi kecekapan pihak berkuasa menyelesaikannya dalam jangkamasa yang pendek. Ini adalah kerana cara perlaksanaan nya yang boleh dikatakan amat berkesan. Sebagai contoh jika kita pergi ke bandar, kita akan dapat melihat atau terpandang akan kamera keselamatan yang dipasang di tempat tertentu seperti di tempat tumpuan awam, stesen minyak, pasaraya, stesen bas dan lain lain, yang terus boleh dipantau oleh pihak polis selama 24 jam.

Baru baru ini lapuran akhbar Metro UK menyatakan terdapat hampir 20,000 unit kamera beroperasi di seluruh bandar dan pekan di UK. Walaupun terdapat aduan tentang kebebasan individu dan juga kekurangan kakitangan untuk memantau disebabkan bilangan kamera ini, tapi hasilnya adalah amat baik. Dengan adanya kamera ini pihak polis akan bertindak dalam waktu yang amat singkat jika berlaku sesuatu jenayah tersebut.

Di kawasan kejiranan pula, polis akan memantau dengan berjalan kaki dan juga dengan kereta peronda. Setiap setahun sekali atau jika berlaku jenayah di kawasan tersebut, pihak polis akan menghantar borang soal selidik berkenaan dengan kawasan kejiranan tersebut dan dipulangkan untuk tindakan mereka. Mereka juga menubuhkan pasukan pemantauan keselamatan yang terdiri dari komuniti kawasan tersebut (seperti rukun tetangga di Malaysia), dan mereka ini sentiasa berhubung dengan pihak polis.

Penambahbaikan prasarana luar bandar dan pengangkutan awam perlu bergerak seiring untuk memastikan kawasan pendalaman dapat dimajukan sinonim dengan kepesatan kemajuan di bandar. Ini akan memastikan akses untuk pendidikan berkualiti dapat disalurkan kepada kawasan pendalaman. Ini juga akan dapat menarik minat pelajar dari luar untuk datang ke Malaysia kerana pendidikan yang ditawarkan setaraf dengan negara maju. Ini juga akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan kerana rakyat di desa dan di bandar akan dapat menikmati pendidikan yang berkualiti yang akan mengubah nasib mereka. Dengan ilmu sahaja akan dapat merubah tahap pemikiran rakyat di samping meningkatkan pendapatan setelah mempunyai pendidikan.

Sekian


Artikel ini telah diterbitkan di akhbar Berita Harian bertarikh 6/1/10-Rabu
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20100105225236/Article/

Friday 18 December 2009

Kejadian Snow


Salam,
Salji mula menampakkan diri setelah bertahun tahun tidak menimpa bumi UK terutama di sebelah Selatan. Bermula dengan kedatangan nya awal tahun ini (2009), pihak kerajaan UK seperti tidak bersedia untuk menyambutnya sedangkan lapuran forecast di sini memang 95% adalah tepat. Lapuran akhbar tempatan menyatakan pihak council di beberapa bandar utama kehabisan sumber bekalan garam yang amat berguna untuk mengatasi masalah di jalanraya dan juga di lapangan terbang.

Seperti sedia maklum, garam ini digunakan untuk mencairkan timbunan salji yang tebal terutama di jalanraya dan juga di landasan kapalterbang. Kejadian salji yang tebal ini yang melanda UK sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada pihak berwajib akan kepentingan untuk sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan tersebut berlaku lagi di musim ini. Kejadian kekurangan garam ini telah menyebabkan keadaan yang sedikit bercelaru. Teringat saya di mana semua sistem pengangkutan telah dibatalkan kecuali Tram, dan ini menyukarkan pengguna untuk berhubung dengan tempat kerja, ke sekolah, ke pejabat, ke universiti dan lain lain.

Walauapapun yang berlaku, manusia hanyalah dapat merancang dan bersedia setakat kemampuan yang ada. Perlu diingat, walau secanggih manapun kelengkapan yang ada, jika tidak mendapat keizinan dari Allah yang maha berkuasa, sekelip mata sahaja kita tidak akan dapat mengatasinya.

Oleh itu, apapun yang kita lakukan, kita mestilah sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar kita diberi kekuatan dan semangat untuk terus menghadapi segala dugaan dan cabaran, dan sentiasa ingat bahawa segala kejadian di muka bumi ini adalah dengan keizinan yang maha berkuasa.

Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Tapi jangan pula kita lemah semangat dengan menyatakan tak perlu kita buat kerana kita rasa kita tak boleh melakukannya, kerana setiap perbuatan yang baik itu yang bertunjangkan kepada niat yang ikhlas, pasti ada ganjarannya di sisi Allah, walaupun kita gagal untuk melaksanakannya. Yang pasti, hati kita mestilah ikhlas dan sentiasa memohon keampunan dari yang maha esa, setiap masa, setiap detik, hingga ke nafas yang terakhir.

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1431-tekadkan hati, bulatkan azam untuk terus mencapai kejayaan yang diimpikan di dunia dan di akhirat.

p/s:Maaf jika saya buat salah di dalam penulisan saya ini dan sebelumnya.

Sunday 13 December 2009

Suratan Hidup II..


Salam,
Kita dihidangkan dengan pelbagai peristiwa sedih dan duka atas kehilangan orang tersayang. Hakikatnya, semua mahluk di dunia ini akan pasti merasai kehilangan termasuklah yang bukan manusia.Itulah ketentuan ilahi. Allah akan menguji setiap manusia dengan pelbagai ujian ujian, semoga kita bertaqwa.

Bila membaca keratin keratan akhbar di tanahair, yang berkisah kepada kemalangan etc, maka akan ada jiwa yang melayang. Adakah ini suratan atau kelalaian manusia itu sendiri. Pelbagai faktor perlu dilihat oleh semua yang terlibat di dalam mengurangkan mangsa mangsa yang tidak berdosa.

Jika dilihat di UK ini, undang2 jalanraya amatlah ketat. Justeru itu kadar kemalangan yang berlaku adalah kecil. Dan ini bolehlah kita katakan sebagai kemalangan. Tapi jika kadar kemalangan yang tinggi,maka itu adalah berpunca dari kelalaian manusia itu sendiri yang mungkin boleh dielak. Mungkin mentaliti masyarakat kita hari ini sudah tidak dapat dikawal lagi. Undang undang tidak mahu dipatuhi walhal undang undang tersebut adalah berguna untuk keselamatan. Kita selalu bercakap pasal berusaha, berdoa dan bertawakal tapi hakikatnya kita tidak mempraktikkan pun akan ajaran tersebut.

Memang ada yang berhati hati tapi jika sebelah pihak sahaja yang beringat, tidak akan menjadikan undang undang tersebut berkesan dan ini yang menyebabkan angka korban yang tinggi. Sebelum artikel ini di tulis, berlaku kemalangan maut yang melibatkan pengantin yang baru sahaja melangsungkan akad nikah. Memang kemalangan tersebut tidak dapat dielakkan kerana sebab teknikal, tapi jika kita selidik tentang keadaan bas yang bertembung dengan kereta tersebut.Adakah pemandu bas tersebut mengikut hadlaju yang dibenarkan? Di negara mat salleh ini, pemandu kenderaan yang besar sentiasa bersopan santun dengan pemandu kenderaan yang kecil. Kalau mereka melihat orang berjalan kaki pun yang ingin melintas, kenderaan yang ingin keluar simpang, mereka akan memperlahankan kenderaan dan memberi laluan kepada pejalan kaki dan kenderaan tersebut. Cuba kita fikir, itu pemandu yang bukan Islam yang mematuhi undang undang. Di negara kita, rata2 adalah pemandu pemandu yang berlesen tapi bila dah berada dijalanraya, kebanyakannya hilang pedoman.

Selagi kita tidak merubah mentaliti diri kita sendiri, selagi itulah akan ramai yang terkorban. Perlu diajar kepada murid2 yang berada sekolah rendah lagi akan kepentingan berhati hati di jalanraya dan juga semasa memandu. Pelajaran ini perlu diwajibkan untuk menengah rendah. Dengan ini sahaja akan dapat menyedarkan masyarakat kita secara jangka panjang. Bila sampai satu tahap nanti, semua masyarakat akan sedar kepentingan keselamatan di jalanraya kerana masyarakat adalah terbina dari budak budak yang kecil yang telah diajar sejak dari bangku sekolah lagi.

Sekian

p/s: Takziah dan Al Fatihah kepada yang telah kehilangan....


Artilce di atas telah diterbitkan di akhbar Berita Harian di halaman surat dari pembaca.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20091214014226/Article/index_html

Friday 11 December 2009

Suratan hidup...


Salam,
Baru je nak kata sesuai dalam keadaan arus kedinginan musim salju sekarang ini, dah ditimpa penyakit. Batuk, selsema dan demam datang dalam package yang sunggu sempurna. Terasa badan begitu lemah sekali. Ubat sentiasa ada tapi melengah lengahkan masa pengambilannya kerana tak mahu makan ubat yang mengandungi drug yang merosakkan untuk jangkamasa panjang.

Digagahkan juga badan ini untuk pergi ke universiti kerana ada perkara2 yang perlu diselesaikan. Masainilah terasa diri ini sangat lemah dan kerdil. Tiada satu kuasa pun yang dapat menghalang kekuasaan Allah jika sesuatu perkara itu nak berlaku.Mahu tak mahu terpaksa hadapi kenyataan. Semuanya ada hikmah tertentu yang manusia itu sendiri tidak mengetahuinya.

Awal pagi dah terjaga. Mungkin teringat kepada assignment yang perlu diselesaikan segera. Selesai sahaja meng-edit journal yang telah disemak oleh supervisor yang baik hati sangat, mulalah mengelamun...

Tak sabar sangat rasanya nak kembali ke tanahair tercinta. Tiada apa yang nak dikejar atau tiada siapa yang menunggu. Cuma kerinduan yang bersangatan terhadap kampung, sanak saudara dan rakan taulan yang membuatkan hati ini begitu meronta ronta untuk pulang. Tapi terfikir juga, bila dah kembali, suatu masa nanti akan rasa kerinduan pula akan kehidupan di sini. Semua itu adalah asam garam kehidupan. Manusia tidak akan puas di dalam menghadapi kehidupan ini kerana godaan nafsu yang berperingkat peringkat dan bermacam macam ragam.

Cuma adakah kita ini dapat mengawalnya atau kita ini akan dikawal olehnya, itu semua bergantung kepada hati kita dengan ajaran dan amalan yang dibuat. Yang pasti, jalan yang ada di depan kita adalah lurus. Kawalan adalah pada diri kita sendiri dengan panduan2 yang telah ditetapkan oleh Allah yang maha berkuasa, samada terjunam kejurang yang dalam, atau terus ke depan menuju kebenaran....

Thursday 3 December 2009

Winter..


Salam,
Sebut saja winter, dah meremang bulu roma. Memang sejuk. Tapi jika diamat amati akan kejadian musim tersebut, memang penurunan suhu dari autumn ke winter berperingkat peringkat. Dalam ertikata yang lain, tidak berlaku penurunan yang mendadak. Justeru itu, kesan kepada individu adalah tidak ketara. Tetapi memang berlaku perubahan dari segi kesihatan jika seseorang itu kurang daya tahan seperti batuk, selsema dan demam.

Aku pula alhamdulillah, tidak terasa sangat akan perubahan tersebut. Mungkin telah agak lama di sini, dan telah terbiasa dengan perubahan tersebut. Cuma terasa juga nak demam tapi cepat cepat telan ubat dan berlaku juga keperitan tekak menandakan batuk akan menjelma. Walauapapun ianya adalah fenomena biasa di sini. Jika kita menaiki bas atau tram, akan kedengaran bunyi bunyi yang berbagai ragam dan melodi disebabkan fenomena pertukaran musim ini.

Memang dugaan agak besar bila tibanya winter. Rasa malas sangat nak bangun awal pagi disebabkan kesejukan yang amat sangat. Nak pergi ke Universiti pun rasa agak berat. Kaki ini terasa kaku bila melangkah keluar rumah. Tapi bila dah sampai, terasa lega disebabkan kepanasan yang tersedia di dalam bilik di universiti.

Apa apa pun, kita perlu menghadapi situasi ini kerana kita yang mahu ianya terjadi terhadap diri kita. Segala susah senang di perantauan akan menjadi memori indah yang tidak akan pudar dan lesap di telan waktu. Ianya akan kita hargai apabila kita telah tidak lagi berada di sini, seperti kata kata puitis, kita akan kenang sesuatu yang indah dan sedih itu jika ianya tidak lagi bersama kita...hanya bait bait rindu yang menjadi mimpi dan igauan tidur di dalam meniti hari hari mendatang...

s_a

Friday 27 November 2009

Pengorbanan....


Salam,
Selamat Hari Raya Aidil Adha. Hari yang membawa seribu makna dalam kehidupan kita sebagai umat Islam.Telah berkali-kali kita menyambut hari kebesaran umat Islam ini. Tapi kalau kita tengok, nasib masyarakat Islam di seluruh dunia semakin tercabar.

Adakah kerana kita hanya menyambut hari kebesaran ini sebagai satu perayaan semata-mata? Di mana perginya naluri sebagai satu umat yang gagah suatu masa dahulu? Adakah kerana asyik kepada dunia, kita telah jadi lalai? Adakah kita seperti buih di lautan yang begitu banyak tapi terumbang ambing tanpa haluan? Adakah kita cintakan dunia dan takutkan mati?

Inilah antara perkara2 yang perlu kita renungi dan fikirkan untuk kita hayati dan jika ianya terjadi, kita perlu berkorban untuk mengubah keadaan tersebut supaya kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu menjadi kenyataan semula.

Ingat, sejarah akan berulang jika mahu ianya berulang, sejarah akan berkubur begitu sahaja jika kita mahu melupakannya. Oleh itu marilah kita semua sebagai umat Islam menanamkan sikap ingin maju dan berjaya, dan untuk mencapai itu semua, apa yang kita perlukan adalah ILMU...

Allahuakbar...Allahuakbar..Allahuakbar..

s_a

Saturday 21 November 2009

Butterfly..


Salam,
Lenguh rasanya di pagi ini. Semalam hampir lebih dua jam aku pi driving golf dekat dengan tempatnya. Hilang semua rasa tension yang sedang aku hadapi sekarang, walaupun seketika sahaja...

Aku termenung sejenak. Memang best kalau melayan perasaan. Maklumlah cuti. Aku fikir akan istilah kejujuran. Rasanya aku seperti tidak jujur pada diri aku sendiri. Aku telah banyak melukakan hati insan-insan yang pernah aku kenal. Aku terlalu banyak berahsia. Aku terlalu egoistik. Sebab itu ada kalanya aku seperti ingin bebas seperti butterfly. Hidup walaupun umur hanya seketika.Terbang walaupun tak tinggi. Cantik walaupun beracun.Selalu berdamping dengan bunga2 indah walaupun tak memiliki.Bestkan...

Tapi bila difikirkan semula, syukurkan jadi manusia. Boleh belajar tinggi-tinggi walaupun tak setinggi langit. Boleh balik M'sia bila cuti semester.Boleh naik kapalterbang walaupun tak pandai terbang. Boleh ada keyboard memainkan lagu yang merdu walaupun puascari masakat airport :). Boleh ada kereta yang meluncur laju. Boleh lihat dan cium bunga2 yang wangi dan cantik.Boleh main golf walaupun pukul tak lurus. Dan macam-macam lagilah. Dan yang penting sekali ada akal dan fikiran untuk berfikir.Boleh tahu apa itu kejujuran. Apa itu penipuan. Apa itu kemewahan. Apa itu ilmu. Apa itu dosa.Apa itu kemaafan. Apa itu keampunan.Apa itu kehidupan.Apa itu kematian.Dan ntah apa2 lagilah.....

Lantas aku tersenyum sendirian.Bukan tak siuman.Tapi satu perkara yang aku ingat, gunakanlah hayat yang ada ini untuk kebaikan manusia sejagat.Dan jadilah diri sendiri yang mempunyai harga diri.

s_a

Sunday 15 November 2009

The end of the world..


Salam,
Baru seminggu tak tulis apa dlm blog nie, rasa mcm satu kekurangan pulak. Baru sahaja menonton movie 2012, yg memang ok walaupun panjang meleret. Kesan CGI yang memang mengesankan. Walaupun ada unsur2 yang tak logik, tapi cerita ini menggambarkan apa yang akan terjadi bila bumi menjadi tidak stabil kesan dari pemanasan global. Ini adalah huraian dari penerbit filem ini dari sudut sains. Tapi jika kita cuba luaskan dari sudut agama islam, memang kita tak tergambarkan bagaimana hari kemusnahan dunia nanti.Semuanya akan hancur lebur. Konsep penyudah cerita ini adalah dari peristiwa banjir besar yang berlaku di zaman Nabi Noh, iaitu penyelamatnya adalah sebuah bahtera yang besar. Dalam cerita ini pulak, kapal tersebut dimodenkan sehingga boleh menyelam dan tahan segala halangan. Kesimpulannya jika kita amati semua peristiwa yang berlaku di dalam dunia ini, dari dahulu lagi hingga sekarang, seperti penyakitnya, peperangan, bencana alam; putaran alam ini adalah menjurus kepada taburan normal (istilah statistik)yang mana kebanyakan peristiwa berulang semula walaupun berlainan zaman dan manusianya; satu contoh mudah iaitu pada zaman nabi luth dulu bnyk berlaku homoseks, dan sekarang perkara itu menjadi biasa di seluruh dunia etc. Dan kalau kita baca berita di akhbar, peristiwa yang berlaku tu selalu dikaitkan dengan peristiwa yang pernah berlaku berpuluh tahun dahulu, seperti banjir besar, taufan, puting beliung dan lain2. Pernah dulu berlaku banjir besar di Malaysia (1965&1970-mungkin tahun sebelum itu pun ada berlaku) di mana Kuala Lumpur dan banyak negeri tenggelam, dan adakah ini akan berlaku lagi? Belum lagi kalau kita baca laporan dari NASA yang menjumpai perkara2 yang pelik2. Dan peristiwa peperangan dengan kejatuhan Syam(Iraq)yang sinonim dengan tanda2 besar hari Kiamat (rujuk kitab2 yang menceritakan tanda2 besar hari Kiamat).
Kita harus sedar akan semua ini dan bukanlah tujuan untuk menakut-nakutkan tapi untuk kita bersedia akan semua itu. Kita pun tahu tiada siapa yang dapat meramalkan bila kemusnahan dunia ini tapi Allah telah memberitahu tanda-tanda Kebesaran NYA dan supaya manusia beringat dan kepada yang mahu beringat.

Saturday 7 November 2009

Final countdown...


Salam,
Agaknya semua orang merasakan hari berganti hari begitu pantas sekali. Sampaikan nak tidur pun rasa tak cukup waktu. Begitulah debar demi debaran apabila terpaksa menghitung hari yang semakin hampir. Jika Allah memberitahu akan masa ajal seseorang, tak tahulah apa akan jadi dengan manusia ini. Mungkin akan lebih beribadat atau sebaliknya.
Aku pulak telah tahu akan masa aku patut habis dan itulah yang menjadikan aku begitu panik sekali. Walaupun hampir siap semuanya tapi hari untuk mengadap panel untuk viva adalah hari yang paling mendebarkan. Tambahan pula sekarang ini musim sejuk telah mula menunjukkan taringnya. Suhu makin turun. So terpaksalah menguatkan semangat untuk melawan semua itu. Nak tulis blog nie pun terpaksa curi masa sedikit, bukan apa kadang2 tu perlu juga rest kan minda sejenak...
Beberapa hari lalu member2 begitu seronok bercerita pasal golf. Ini satu lagi penyakit yang melanda orang2 seperti aku ini (tak percaya tanya bro Tabib..). Selepas penyakit2 yang lain seperti asyik dengan DSLR, keretanya, melancungnya; maka golf pulak yang di war-warkan. sebelum ini aku begitu alim tentang golf nie, member2 ajak, aku kata sibuk memanjang. So setelah member baik aku dah beli satu set golf, aku tetiba je mengikut jejak langkah nya. Maka terbang lah duit aku yang boleh digunakan untuk bayar sewa 2 minggu. Tapi nasib baik juga jadi 'floor engineer' dan tak perlulah guna kan duit kerajaan yang khas untuk pembelajaran. Tu lah, jika dah merantau nie,pandai pulak untuk mencari duit saku. Alhamdulillah, kerajaan membantu dengan menyumbang banyak sekali duit untuk setiap pelajar, tapi kalau nak selesa sedikit, kenalah berusaha part time. tambahan pula student memang boleh berkerja 20 jam seminggu untuk menampung apa2 yang kurang. So, tidak timbullah penyalahguna wang dari kerajaan. walauapapun, pelajaran mesti diletakkan pada kedudukan no. satu.
Berbalik kepada golf tadi, aku seakan dah jadi mabuk, seperti orang mabuk cinta pulak. Kelakar sungguh...tapi tak apalah, daripada bercinta yang tak menjanjikan apa2, baik pergi main golf, dapat jugak mengukur berapa luas padang tersebut..:)...
Tapi bila dah sejuk nie, macam orang giler pulak dok main golf, hi hi hi...Tapi kalau member2 Melayu nampak, mereka tak kisah sebab itulah penangan orang buat PhD nie...tambahan dah dekat2 nak habis....gila semacam je...
Teringat semula aku pada 'final countdown' yang sedang mengejar aku sekarang ini..ahhh, aku perlu lupakan segala-galanya, untuk aku habiskan misi aku di sini.....

Friday 6 November 2009

Reality or not??

Just to share...



Janganlah kita berbuat zalim kepada mereka apabila kita mmpunyai sesuatu yang mereka tidak ada, kerana Allah itu maha mengetahui...

Dan juga kita akan merasai kehilangan seseorang apabila mereka tiada lagi bersama kita buat selama-lamanya..

Al-Fatihah buat arwah ayahibu ku dan min...

s_a

Wednesday 4 November 2009

Knowledge



Hari ini hampir seharian aku membaca satu report yang berkaitan dengan research aku. Itupun baru separuh dari 37 mukasurat yang sepatutnya aku habiskan. Tapi segala apa yang terkandung di dalamnya memberikan idea idea yang aku inginkan. Lepas itu aku berbincang dengan member satu group research dengan aku berkenaan dengan knowledge.
Dia menyatakan kenapalah dia datang ke sini untuk belajar lagi. Dia cakap kalau dia kerja dah tentu banyak dah dia dapat duit. Member tu berasal dari sebuah negara Arab yang kaya dengan hasil minyaknya. Dari situ aku dapat merasakan bahawa sebab pemikiran tersebutlah yang menjadikan kita umat islam ketinggalan. Lalu aku pun membukalah perbincangan berkenaan dengan isu tersebut.
Aku menyatakan bahawa memanglah kalau kita banyak duit kita boleh buat dan beli apa sahaja. Tapi cuba kita fikirkan jika duit tersebut sudah tidak laku lagi terutama bila berlaku peperangan. Selama ini kita bergantung kepada negara lain yang mempunyai teknologi dan ilmu pengetahuan yang hebat. Bayangkan jika kita berperang dengan negara yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan hebat. Ke mana kita nak lari jika kita hanya bergantung kepada mereka. Jika kita sendiri yang developed teknologi kita, sekurang kurangnya kita boleh beriktiar dan cuba membina sesuatu yang boleh kita gunakan untuk melawan mereka. Dengan hanya membeli sahaja tidak cukup sebab mereka tahu rahsia kita dan sudah tentu mereka ada senjata yang lebih lagi untuk menangkis kekuatan kita.
Aku menerangkan lagi bahawa negara2 tertentu yang besar dan hebat tidak kisah kalau kita nak laburkan wang berbillion billion ringgit hanya untuk membangunkan negara kita seperti bangunan2 tinggi dan infrastruktur yang lain, tapi cuba kita bangunkan teknologi dan research kita berkenaan dengan teknologi nuklear atau persenjataan yang hebat, tentu mereka akan mula memberi response yang berlawanan. Kenapa ini semua berlaku? Kerana mereka tidak mahu ilmu pengetahuan yang ada pada kita melebihi kekuatan mereka dan memberi ancaman kepada mereka pula.
So, aku mencadangkan kepada kawanku itu apabila balik ke negaranya, cuba2 lah ubah sistem yang hanya mengajar teori tanpa meluaskan research. Aku kagum apabila setiap kali menghadiri seminar/conference, ramai peserta2 dari sebuah negara arab yang begitu maju tentang research berkenaan dengan loji dan reaktor. Patutlah mereka sekarang begitu hebat untuk membina sumber elektrik dari tenaga nuklear tanpa mendapat bantuan dari barat. Dan kita boleh tengok apa yang sedang dilakukan oleh musuh2 islam untuk memusnahkan teknologi yang dibina oleh negara Islam itu, dan alasan mereka atas sebab keselamatan dunia. Inilah yang sedang berlaku di dunia ini dan sebagai pelajar yang menjadi harapan negara, fikirkan lah apa peranan kita untuk menjadikan ilmu pengetahuan sebagai senjata untuk kita pertahankan bangsa kita di bumi ini.




s_a


Tuesday 3 November 2009

Impian...




Hari ini aku ingin menceritakan impian aku untuk masa depan. Kata orang, kita hanya merancang tapi tuhan yang menentukan. Jika kita amati ungkapan tersebut, memang ada kebenarannya. Tapi jika kita merancang dengan betul dan melalui jalan jalan yang diredhai, maka jika kita tak mencapainya, kita masih dapat pahalanya. So, janganlah mudah mengalah dan teruskan usaha hingga berjaya. Aku selalu berpegang pada prinsip, 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' dan juga ungkapan ini iaitu 'peluang hanya sekali sahaja' selalu menjadi pendorong untuk aku terus berjaya. Memang tak semua yang kita hajatkan itu akan tercapai, dan jika itu berlaku maka kita harus bersyukur kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya.
So, berbalik kepada impian tadi, jika ditanya pembaca blog ini, pasti masing masing ada impian masing masing.
Impian aku yang pertama ialah untuk berjaya membawa pulang ijazah yang sedang aku usahakan ini. Ianya berguna untuk aku membuat dan mengembangkan research aku nanti. Yang kedua ialah untuk hidup selesa dan bahagia seperti orang lain yang bahagia. mungkin sukar atau mungkin mudah, itu aku tak tahu tapi itulah niat aku.
Seterusnya aku ingin membuat kebajikan kepada orang orang yang memerlukannya, supaya mereka juga dapat merasai kenikmatan hidup ini. Dan juga aku ingin terus beramal dan melakukan segala suruhan yang maha esa hingga hujung nyawa. Tapi tak dinafikan ada impian aku yang tak kesampaian iaitu untuk menunjukkan kejayaan aku nanti kepada kedua orang tua ku. Itulah hakikatnya bahawa kita hanya merancang, tuhan yang menentukan.
Semoga segala impian aku tersebut akan tercapai hendaknya dan jika ianya hanya setengah jalan sahaja, aku tetap akan bersyukur..


s_a



Sunday 1 November 2009

Pagi ini...


Pagi ini sejuk. Hujan di luar tidaklah lebat tapi bunyinya menyapa atap memainkan lagu yang enak untuk tido.Terasa ingin menarik selimut kembali, tapi berfikir sejenak akan mimpi semalam. Mimpi yang bercampur baur. Mimpi tentang seseorang yang dirindui. Mimpi tentang dunia yang semakin kalut. Mimpi tentang sahabat lama yang bertandang bertanya khabar. Mimpi tentang research yang belum selesai.Mimpi yang seakan akan tak sudah....

Aku jumpa seorang awek yang seakan aku kenal, tapi di mana ya...yang aku rasa seperti aku merinduinya....dia pun merindui aku juga yang kelihatan dari riak wajahnya. Tapi mimpilah katakan, aku tidak berapa ingat apa yang terjadi selepas itu tapi aku rasa bahagia. Lepas itu aku jumpa sahabat aku masa aku belajar kat universiti dulu...yang tidak berubah dengan mulut bisingnya dan kelucuannya...macam2 hal yang diperkatakannya...Selepas itu aku melihat sesuatu di langit seperti ada tulisan ayat Quran yang timbul dan hilang...kemudian timbul semula...aku membacanya tapi aku tidak ingat ayat tersebut..lepas itu aku mimpi menaiki sesuatu yang sangat laju, macam keretapi laju tapi bukan keretapi sebab ianya hanya muat untuk 2,3 orang sahaja... aahhh, betullah kata orang, mimpi hanya mainan tido sahaja..tapi aku masih teringat akan mimpi melihat ayat Quran tersebut. Aku memikirkan bahawa dunia sekarang ini telah terlalu uzur...macam2 perkara telah berlaku akhir zaman ini; peperangan, bencana alam dan lain2 yang sinonim dengan tanda-tanda akan berakhirnya kehidupan manusia di dunia ini...

Aku menulis di sini supaya aku tidak lupa akan mimpi aku malam tadi. Mimpi yang sentiasa menjadi mainan tidur seorang manusia. Adakalanya mimpi itu benar, tapi adakalanya mimpi itu hanya sekadar mainan tidur yang menjadi perencah di alam mimpi..dan aku merasakan kedinginan dan kemerduan bunyi air hujan yang menarik minat aku untuk kembali ke alam mimpi... dan aku merindui mimpi bersama dengan ayah ibu ku yang telah pergi...yang sangat sangat aku rindukan......


s_a

Wednesday 28 October 2009

Halloween time...


Salam,

Bersua kembali setelah mogok seketika kerana kepala dah berpusing..Entah keberapa darjah dah kepala nie berpusing-pusing hinggalah pada saat menulis ini, masalah aku tu dapat diselesaikan...Ahhh..lega rasanya..

Baru lah tersedar yang kaum2 yang berada di sekeliling akan menyambut malam halloween....kerana tiap2 malam kepala ini dipekakkan dengan bunyi2 bunga api yang sahut menyahut lagak orang orang kat Malaysia menyambut hari raya dan orang orang Cina menyambut tahun Baru.

Pernah satu ketika mula-mula datang ke sini, sekumpulan anak2 remaja datang mengetuk pintu dan dengan sopannya aku membuka pintu. Alangkah terkejutnya, kerana yang mengetuk tersebut adalah 'hantu-hantu' yang menakutkan, yang meminta coklat...Ahh....terasa juga degupan jantung bergetar kerana terperanjat. Tapi sebagai seorang yang macho, cepat2 menyenbunyikan perasaan tersebut dan bertanya apa yang mereka mahukan...? Mereka hanya meminta coklat. Itu saja...Mana nak ada coklat pada masa tu sebab baru sahaja datang, so mereka pergi dengan hampa...

Imbauan tersebut seringkali bermain2 di kepala apabila terdengar bunyi letupan bunga api, dan sedar tak sedar dah menjangkau 3 tahun rupanya aku di sini...

Azam aku kali ini ialah untuk balik dengan segera dan menamatkan pencarian aku di sini kerana aku tahu di hadapan sana masih ada banyak perkara yang aku perlu lakukan. Tahun demi tahun berlalu, dan halloween tetap akan datang dan pergi seperti mana kita manusia di bumi ini yang saban hari ada yang lahir dan ada yang pergi untuk selama lamanya. Walauapapun tujuan sambutan Halloween tersebut, sebagai manusia kita harus ingat bahawa kita lahir ke dunia ini adalah untuk menjadi khalifah dan menegakkan Agama Islam yang maha suci..


sekian jumpa lagi..


s_a


Tuesday 20 October 2009

Million dollar baby


Salam,

Malam tadi aku menonton tv dengan cerita yang sangat menarik, teruja dan juga sedih. Tajuk nya ialah 'Million dollar baby'. Pada mulanya aku tertanya-tanya dan menunggu seorang baby yang akan muncul untuk membawa watak tersebut. Tapi sangkaan ku meleset sekali. Ceritanya berkisar kepada satu gymn tempat melahirkan peninju amatur dan profesional. Pengurus merangkap jurulatih gym tersebut seorang bekas peninju yang telah bersara dan sekian lama tidak menghasilkan peninju yang profesional. Suatu hari seorang wanita dalam lingkungan 30an telah datang dan menyewa untuk berlatih bertinju. Yang menariknya wanita tersebut datang dari keluarga yang miskin setelah ayahnya meninggal dunia. Dia menyara hidup dan membayar sewa gym untuk berlatih bertinju dari hasil berkerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Pada mulanya pengurus gym tersebut tidak berminat mengambil anak didik di kalangan wanita.Tapi setelah pelatih tinju lelaki yg telah lama berada di bawah seliaan beliau berhijrah ke pengurus lain, maka ppengurus gym tersebut rasa kecewa. Lantas suatu malam, dia melihat wanita tadi yang tidak pernah putus asa berlatih walaupun wanita tersebut tidak tahu cara yang betul utk bertinju, dan beliau menghampiri wanita tersebut lalu menawarkan diri utk melatih nya. Dipendekkan cerita, akhirnya wanita tersebut berjaya menumpaskan satu demi satu lawannya di setiap perlawanan. Tapi akhir sekali dalam satu perlawanan utk merebut 1 million dollar, dia tersilap langkah kerana di tumbuk curi oleh pihak lawan lalu kalah dan lumpuh..Moral of the story ialah kalau kita berusaha gigih, tak kenal jemu, suatu masa kita akan berjaya juga dan yang kedua, kita perlu sentiasa ingat pesan guru kita untuk kita berjaya (wanita tersebut tidak ingat pesan gurunya disaat akhir perlawanan utk sentiasa berwaspada menjaga keselamatan diri dia, lalu pihak lawan dapat meninju curi...)..

Akhirnya wanita itu mati atas permintaan diri dia dgn gurunya....(nie yg sedih nya,,)
Lepas je abis, aku terus pi study sampai pagi......kerana teruja dengan semangat kaum hawa itu..


s_a

Friday 16 October 2009

Jumaat yang hening


Di luar masih gelap lagi. Jam baru pukul 4 pagi. Sejuknya bukan kepalang. Nasib baik ada heater yang setia menemani ku sekian lama aku berada di bumi penjajah ini. Mataku terasa perit kerana kejutan deringan jam yang juga teman setia ku. Aku termenung seketika. Begitu malas untuk aku pergi mencuci muka dan mengosok gigiku. Waktu subuh lambat lagi, detik hatiku. sebentar tadi aku amati tulisanku dalam blog ini. Macam ada perasaan sentimental sahaja tulisan ku. Tapi itulah reality nya. Kadang2 perasaan gembira, sedih dan adakalanya bercampur baur. Tapi aku yakinkan diriku bahawa menjadi anak jantan janganlah terlalu emosi. Dan itulah yang menjadikan ku lebih tabah berada di sini. Sebelum ini aku tak berapa layan sangat dengan blog-blog yang ada di laman web, tapi setelah kerja ku hampir siap, barulah aku mula nak berjinak jinak dengannya. Ya la, segala apa perasaan, aktiviti, memori dan segalanya boleh dicoretkan di dalamnya...

Selesai aku sembahyang sunat, aku membuka note book ku dan menulis akan plan perjalanan aku pada hari ini. Aku amati ruangan catatan untuk aku tulis di dalamnya.Hari ini hari Jumaat. Jumaat yang penuh dengan keberkatan...Di luar begitu sepi sekali. Sesekali terdengar tiupan angin menerjah bucu atap bilik ku. Inilah masa yang paling sesuai untuk aku menelaah dan melihat kembali akan apa yang telah aku buat hari semalam. Aku pun membuka Journal yang aku print semalam untuk aku dapatkan sedikit info berkenaan research ku. Sambil itu aku membuka email yang aku lupa nak jenguk semalam. Tidak banyak cerita-cerita yang masuk. Cuma ada beberapa berita yang kelakar dan lucu dari rakan-rakan yang berada di Malaysia. Aku tersenyum sendirian...

Sambil itu aku menulis perancangan untuk hari ini, seperti biasa pergi Universiti, pukul 10.30 ada kursus sampai 12.00 tghari, lps tu pergi sembahyang jumaat, kembali semula ke Universiti, rutin biasa pukul 3.30 ptg pergi kerja (part time-mungkin bulan nie penghabisan aku kerja sebagai 'floor engineer'), pkl 6.15 mlm, balik semula ke Universiti dan pulang ke rumah pukul 10.00 mlm. Habis satu perjalanan hidup untuk hari ini...

Itulah rutin ku hari-hari yang kalau diikutkan memang bosan dan jemu sekali. Tapi apakan daya, amanah dan janji mesti dikotakan untuk berkhidmat kepada bangsa dan tanahair tercinta.

Sedar tak sedar, waktu Subuh telah pun masuk dan sekali lagi tugas sebagai muslim kena ditunaikan. Aku berdoa di Subuh yang hening ini agar Allah memberi aku kekuatan untuk terus berjuang dan berjuang hingga ke nafas yang terakhir...

s_a

Thursday 15 October 2009

Hari ini bukan semalam...


Hari ini aku makin malas dari semalam. Hari ini cuaca makin suram dari semalam.Hari ini hujan renyai2 berbanding semalam. Hari ini pening kepala ku makin kuat dari semalam. Hari ini adalah loncatan untuk penantian hari esok.Ya semalam yang lebih baik dari hari ini. Permulaan untuk hari ini adalah tidak memberangsangkan. Fikiran ku selalu terbayang bayang akan semalam dan hari yang telah berlalu. Nama saja aku belajar macamana nak reka pengawal untuk mesin. Sedangkan otak kita adalah satu pengawal yang paling hebat. Tapi aku tak dapat mengawalnya dengan cermat. Terlalu banyak disturbance yang perlu aku kawal. Ianya menjadi sesuatu yg non linear....
Pagi tadi semasa aku menaiki bas ke universiti, bermacam ragam manusia yang aku lihat. Bukan pertama kali aku saksikan gelagat mereka. Ada yang putih, ada yang hitam, ada yang sawo matang. Ada yang tinggi, ada yang rendah, ada yang gemuk, ada yang kurus, ada yang sedang-sedang....ada juga yang katek.Ada yang tua, ada yang muda bergetah, ada kanak-kanak,ada yang uzur, ada yang cergas...Suasananya lebihkurang sama saja dengan tempat-tempat lain di seluruh dunia. Masing2 terkejar-kejar untuk mencari rezeki dan ada yang menanti sesuatu yang tak pasti kunjung tiba. Begitulah nasib manusia yang mundar mandir ke hulu ke hilir menantikan hari gelap dan sejuk tiba.
Aku memerhatikan roda besar yang membuat pusingan yang dinaiki oleh ramai manusia. Begitulah nasib kita di dunia ini, adakalanya di atas, adakalanya di bawah. Tapi yang pasti, kita akan berpijak semula ke bumi setelah berpusing beberapa kali. Ini mengingatkan aku akan pesan orang tua, walau apa yang kita buat, kita mestilah ingat bahawa dunia ini akan sampai ke penghujungnya. Berbuatlah sesuatu yang baik dan bermanfaat sementara menunggu hari akhir kita di dunia ini.
Bunyi dentingan loceng bas menyedarkan aku dari lamunan. Telah sampai rupanya....
Aku cepat-cepat pergi ke bilik ku dan mula buat apa yang patut aku buat hari ini. Yang pasti hari ini bukan semalam dan bukan juga esok....harapan agar hari-hari yang mendatang lebih baik dari hari ini dan semalam...


s_a

Wednesday 14 October 2009

Hari ini...


Terlalu kelam kabut dibuatnya. Entah keberapa kali aku terasa akan kepayahan dan kepeningan untuk menyudahkan kerja2 aku yang rasanya tak ada berpenghujung. Entah berapa kali aku telah berjanji kepada seseorang yang belum dapat aku lunasi. Terasa diri ini banyak membuat dosa yang sepatutnya aku dapat hindarkan...tapi apakan daya aku seorang insan yang tiada kekuatan untuk memenuhi semua itu, maaf ya aa.....
Dalam beberapa hari ini aku terasa rindu yang amat sangat kepada insan yang banyak berjasa dalam hidup aku. Tapi mereka berdua telah tiada. Aku mula menghitung hitung akan sumbangan aku kepada mereka semasa hayat mereka. Mmmm...walaupun aku telah dapat memberi sedikit sumbangan kepada mereka, namun ianya tidak boleh dibandingkan dengan jasa mereka di dalam hidup aku. Jika diberi oleh yang maha kuasa masa untuk aku bersama mereka seperti dahulu, akan aku penuhi masa ku untuk mereka berdua. Tapi yang telah pergi tak akan kembali lagi...hanya doa dan sedekah sahaja yang dapat aku berikan untuk roh mereka berdua.
Pagi ini seperti pagi pagi yang lepas, masih sejuk dan suram. Terasa berat sungguh untuk aku kembali ke tempat research aku yang masih setia menanti aku untuk aku sudahkan persoalan2 yang masih belum berpenghujung. Memang benar, bukan mudah untuk menjadi mudah, bukan mudah untuk melawan kesejukan ini, bukan mudah untuk melupakan, bukan mudah untuk mendapat sesuatu yang mudah, dan semestinya bukan mudah untuk menghabiskan pelajaran ini...
Sedar tak sedar masa berdetik begitu cepat sekali seperti kilat. Aku saja yang lambat. Lebih lambat dari yang lambat. Ahh...buntu sungguh aku hari ini....
Salam....
s_a

Monday 5 October 2009

Semangat yang hilang..

Hari ini dunia kian bergoncang
Taufan mengganas di sebalik sini
Gempa meratah di sebalik sana
Aliran lava menyirami di Selatan
Kesejukan melanda di Utara

Tapi semua itu tidak sehebat
Hati ini yang telah hilang
Semangatnya yang telah lenyap
Geloranya yang telah surut

Keinginan untuk pulang telah pudar
Tidak terbayang akan kesedihan
Pabila disambut pusara yang kaku
Kepunyaan ayah dan ibu

Tak sempat nak mengiringi
Ke tempat persemadian yang kekal abadi
Segala janji telah terhenti
Untuk di lunasi

Masihkah ada segumpal impian
Untuk mengharungi kehidupan ini
Setelah apa yang dijanjikan
Berselerakan dihempas badai..

s_a