Wednesday 23 December 2009

NKRA pencetus kegemilangan negara


Salam,
Langkah kerajaan memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baru baru ini adalah tepat pada masanya. Enam bidang tersebut adalah memperkasakan prasarana luar bandar dan pendalaman, menambah baik pengangkutan awam, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, memerangi rasuah, mengurangi kadar jenayah dan kadar kemiskinan.

Rakyat perlu diberikan penerangan melalui risalah, akhbar dan media electronic tentang kesemua bidang ini di mana sahaja mereka berada dari masa ke semasa supaya mereka faham dan bersama berganding bahu untuk menjadikan Plan Tranformasi Kerajaan (GTP) ini menghasilkan kejayaan.

Memerangi rasuah adalah perkara pokok di dalam merealisasikan kesemua enam bidang tersebut. Ini adalah kerana kesemua bidang tersebut adalah berkait rapat dengan perlaksanaan yang akan melibatkan pegawai kerajaan dan juga swasta serta rakyat yang perlukan keikhlasan untuk bersama menjadikannya suatu realiti.

Mengurangi kadar jenayah adalah kedua utama kerana ianya melibatkan soal keselamatan rakyat dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Rakyat yang sihat dan selamat adalah pemacu kepada kenaikan pendapatan negara kerana menarik minat pemodal asing untuk melabur dalam jangkamasa yang panjang.

Jika dilihat di UK ini, kadar jenayah adalah terkawal. Memang tidak dinafikan kadar jenayah adalah lebih tinggi di bandar besar tetapi kecekapan pihak berkuasa menyelesaikannya dalam jangkamasa yang pendek. Ini adalah kerana cara perlaksanaan nya yang boleh dikatakan amat berkesan. Sebagai contoh jika kita pergi ke bandar, kita akan dapat melihat atau terpandang akan kamera keselamatan yang dipasang di tempat tertentu seperti di tempat tumpuan awam, stesen minyak, pasaraya, stesen bas dan lain lain, yang terus boleh dipantau oleh pihak polis selama 24 jam.

Baru baru ini lapuran akhbar Metro UK menyatakan terdapat hampir 20,000 unit kamera beroperasi di seluruh bandar dan pekan di UK. Walaupun terdapat aduan tentang kebebasan individu dan juga kekurangan kakitangan untuk memantau disebabkan bilangan kamera ini, tapi hasilnya adalah amat baik. Dengan adanya kamera ini pihak polis akan bertindak dalam waktu yang amat singkat jika berlaku sesuatu jenayah tersebut.

Di kawasan kejiranan pula, polis akan memantau dengan berjalan kaki dan juga dengan kereta peronda. Setiap setahun sekali atau jika berlaku jenayah di kawasan tersebut, pihak polis akan menghantar borang soal selidik berkenaan dengan kawasan kejiranan tersebut dan dipulangkan untuk tindakan mereka. Mereka juga menubuhkan pasukan pemantauan keselamatan yang terdiri dari komuniti kawasan tersebut (seperti rukun tetangga di Malaysia), dan mereka ini sentiasa berhubung dengan pihak polis.

Penambahbaikan prasarana luar bandar dan pengangkutan awam perlu bergerak seiring untuk memastikan kawasan pendalaman dapat dimajukan sinonim dengan kepesatan kemajuan di bandar. Ini akan memastikan akses untuk pendidikan berkualiti dapat disalurkan kepada kawasan pendalaman. Ini juga akan dapat menarik minat pelajar dari luar untuk datang ke Malaysia kerana pendidikan yang ditawarkan setaraf dengan negara maju. Ini juga akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan kerana rakyat di desa dan di bandar akan dapat menikmati pendidikan yang berkualiti yang akan mengubah nasib mereka. Dengan ilmu sahaja akan dapat merubah tahap pemikiran rakyat di samping meningkatkan pendapatan setelah mempunyai pendidikan.

Sekian


Artikel ini telah diterbitkan di akhbar Berita Harian bertarikh 6/1/10-Rabu
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20100105225236/Article/

No comments:

Post a Comment