Wednesday 23 December 2009

Takdir..


Salam,
25 haribulan ini genap 100 hari ayahku pergi buat selama-lamanya. Mataku berlinangan dengan titik titik air yang secara tidak sedar keluar tanpa dipaksa bila mengingati peristiwa ini. Ayahku pergi kehadrat illahi kerana sakit di bahagian paru paru yang dialaminya semenjak aku kehilangan ibuku setahun lapan bulan sebelumnya.Kini aku menjadi yatim piatu. Di pagi ini aku amat merasakan kehilangan mereka berdua......

Ibuku pergi setelah disahkan mengidap kanser paru-paru 4 bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 10.1.2008. Bila tiba tanggal 25.12 aku akan mengenang semua kejadian ini kerana pada tanggal tersebut aku pulang ke UK setelah sebulan aku menjaga arwah ibuku di hospital.Masih lagi terngiang ngiang di telingaku akan pesan arwah semasa aku memeluk erat arwah ibuku sebelum aku berangkat pulang untuk meneruskan pengajianku di sini, 'teruskan belajar walauapapun yang berlaku pada ibu..', dan detik itu aku terasa begitu deras airmataku mengalir membasahi bahu arwah. Begitu berat kakiku melangkah meninggalkan ibuku yang masih lagi bertarung dengan penyakitnya. Tetapi masa itu penyakitnya sudah mula beransur kurang dan doctor mengesahkan ada sedikit perubahan. Semasa aku berjumpa dengan doctor, dia mengesahkan yang arwah ibuku tidak akan panjang umurnya. Tapi masa itu aku tidak menjangkakan akan pemergiannya yang begitu cepat setelah 10 hari aku pulang ke sini. Seharian aku menangis dan menangis tanpa dapat berbuat apa2. Sebaik aku menerima panggilan dari kampung, arwah ibuku telah selamat disemadikan. Yang mampu aku lakukan hanyalah mengadakan sembahyang jenazah ghaib dan kenduri arwah. Dan malamnya aku menangis lagi sepuas-puasnya hingga terlelap...

Setelah kejadian itu, ayahku mula tidak berapa sihat. Aku selalu telefon ke kampung dan boleh dikatakan dalam seminggu tu, 2, 3 hari saja yang aku tidak menghubunginya. Waktu itu aku selalu berdoa dan memohon ke hadrat illahi agar aku tidak kehilangan lagi atau paling tidak, tunggulah aku habis belajar di sini. Tapi kita hanya mampu berdoa, Allah jua yang maha berkuasa. Setelah hampir seminggu berpuasa pada tahun ini (2009), sebelum subuh (waktu Malaysia), aku bercakap dengan kakak ku dan dia menyatakan yang arwah ayahku sihat sahaja dan tidak bangun lagi untuk bersahur. Dua hari sebelum itu aku dapat bercakap dengan arwah ayahku, dan arwah bertanya bila aku akan pulang. Saat itulah aku dapat bercakap dengannya buat yang aku tidak tahu bahawa itulah kali terakhir aku akan bercakap dengannya. Aku menerima panggilan sedih semasa aku hendak bersiap siap ke universiti pada keesokan harinya. Semuanya telah selamat disempurnakan. Sekali lagi aku tidak dapat menahan airmataku yang aku biarkan keluar sebanyak banyak nya.

Semuanya berlaku tanpa kemahuan ku. Aku tidak dapat melakukan dua perkara di dalam satu masa. Antara pelajaran dan kedua ibubapaku. Tetapi yang pasi, kedua duanya telah merestui pemergian aku ke sini.Dan sebagai manusia aku tidak mampu untuk menghalangnya. Kepada yang masih ada ibu dan bapa, hargailah mereka. Jagalah mereka hingga akhir hayat mereka. Keluar airmata darah sekalipun, kita tidak akan dapat bertemu dengan mereka lagi jika mereka telah pergi. Yang pasti, kita akan hargai dan merasai kehilangan mereka yang kita sayangi jika mereka tiada lagi di sisi kita. Dan sebagai manusia biasa yang lemah, kita tidak akan dapat melawan qada' dan qadar yang telah dijanjikan. Hanya doa, usaha dan tawwakal sahaja yang mampu kita lakukan.Takdir mengatasi segala galanya.


'Ya Allah ya tuhanku, golongkanlah arwah kedua ibubapaku di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Peliharakanlah arwah mereka berdua sebaik baik nya sepertimana mereka telah memelihara aku dengan sebaik baik nya semasa aku kecil hingga mereka menghembuskan nafas terakhir'-Al Fatihah...

2 comments:

  1. redha dgn takdirNya, pasrah dgn ketentuanNya. yang hidup perlu meneruskan hidup, semoga tindak tanduk kita di dunia ini tidak menyusahkan mereka di sana. ameen.

    ReplyDelete
  2. telah pun redha akan apa yg telah berlaku,cuma sebagai manusia tak kan lari dari sifat terkilan kerana tidak dapat menatap wajah terakhir mereka yg bro sayangi...anyway thanks for your support...

    ReplyDelete