Wednesday 30 December 2009

Tahun baru, Azam baru


Salam,
Kita telah pun memasuki tahun baru hijrah 1431 dan dua hari lagi kita akan masuk pula ke tahun masihi 2010. Dengan pertambahan tahun yang sentiasa silih berganti, sedar atau tidak umur kita pun makin meningkat.Marilah kita memuhasabahkan diri kita tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang kehidupan kita hingga kini.

Memang kehidupan ini tidak lari dari menghadapi pelbagai masalah. Dan sejauh mana kita dapat mengatasi masalah tersebut, ianya bergantung kepada cara perlaksanaan kita di dalam menyelesaikannya. Maka sempena dengan tahun baru ini, kuatkanlah azam untuk terus berjaya di dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi. Jadikanlah peristiwa yang telah berlaku sebagai landasan dan panduan untuk kita memperbaiki diri kita agar mendapat dan mencapai objektif yang lebih baik lagi.

Lupakanlah segala keperitan hidup dan jadikan sempadan untuk kita lebih berjaya, dan jika kita telah mendapat banyak nikmat dari illahi, bersyukurlah dan jangan lupa kepada nasib insan insan yang tidak sebaik nasib kita. Sentiasalah bersyukur akan apa yang kita ada dan selalulah memberi pertolongan kepada yang memerlukannya, dengan niat yang ikhlas.

Matlamat hidup kita bukan semata-mata untuk kebahagian di dunia sahaja, tetapi jangan lupa akan negeri yang kekal abadi. Di sanalah nanti kita akan hidup selama lamanya. Maka bekalan untuk rohani perlu kita dalami di samping ilmu duniawi agar perjalanan hidup kita seimbang dan berbahagia di kedua alam tersebut.

Akhirnya untuk tahun ini, dan azam yang baru untuk tahun yang baru, marilah kita bersama sama memajukan lagi diri dan bangsa kita agar kita dapat mencapai matlamat kita yang dilahirkan sebagai insan di dunia ini di samping berjaya di akhirat.

sekian

Wednesday 23 December 2009

Takdir..


Salam,
25 haribulan ini genap 100 hari ayahku pergi buat selama-lamanya. Mataku berlinangan dengan titik titik air yang secara tidak sedar keluar tanpa dipaksa bila mengingati peristiwa ini. Ayahku pergi kehadrat illahi kerana sakit di bahagian paru paru yang dialaminya semenjak aku kehilangan ibuku setahun lapan bulan sebelumnya.Kini aku menjadi yatim piatu. Di pagi ini aku amat merasakan kehilangan mereka berdua......

Ibuku pergi setelah disahkan mengidap kanser paru-paru 4 bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 10.1.2008. Bila tiba tanggal 25.12 aku akan mengenang semua kejadian ini kerana pada tanggal tersebut aku pulang ke UK setelah sebulan aku menjaga arwah ibuku di hospital.Masih lagi terngiang ngiang di telingaku akan pesan arwah semasa aku memeluk erat arwah ibuku sebelum aku berangkat pulang untuk meneruskan pengajianku di sini, 'teruskan belajar walauapapun yang berlaku pada ibu..', dan detik itu aku terasa begitu deras airmataku mengalir membasahi bahu arwah. Begitu berat kakiku melangkah meninggalkan ibuku yang masih lagi bertarung dengan penyakitnya. Tetapi masa itu penyakitnya sudah mula beransur kurang dan doctor mengesahkan ada sedikit perubahan. Semasa aku berjumpa dengan doctor, dia mengesahkan yang arwah ibuku tidak akan panjang umurnya. Tapi masa itu aku tidak menjangkakan akan pemergiannya yang begitu cepat setelah 10 hari aku pulang ke sini. Seharian aku menangis dan menangis tanpa dapat berbuat apa2. Sebaik aku menerima panggilan dari kampung, arwah ibuku telah selamat disemadikan. Yang mampu aku lakukan hanyalah mengadakan sembahyang jenazah ghaib dan kenduri arwah. Dan malamnya aku menangis lagi sepuas-puasnya hingga terlelap...

Setelah kejadian itu, ayahku mula tidak berapa sihat. Aku selalu telefon ke kampung dan boleh dikatakan dalam seminggu tu, 2, 3 hari saja yang aku tidak menghubunginya. Waktu itu aku selalu berdoa dan memohon ke hadrat illahi agar aku tidak kehilangan lagi atau paling tidak, tunggulah aku habis belajar di sini. Tapi kita hanya mampu berdoa, Allah jua yang maha berkuasa. Setelah hampir seminggu berpuasa pada tahun ini (2009), sebelum subuh (waktu Malaysia), aku bercakap dengan kakak ku dan dia menyatakan yang arwah ayahku sihat sahaja dan tidak bangun lagi untuk bersahur. Dua hari sebelum itu aku dapat bercakap dengan arwah ayahku, dan arwah bertanya bila aku akan pulang. Saat itulah aku dapat bercakap dengannya buat yang aku tidak tahu bahawa itulah kali terakhir aku akan bercakap dengannya. Aku menerima panggilan sedih semasa aku hendak bersiap siap ke universiti pada keesokan harinya. Semuanya telah selamat disempurnakan. Sekali lagi aku tidak dapat menahan airmataku yang aku biarkan keluar sebanyak banyak nya.

Semuanya berlaku tanpa kemahuan ku. Aku tidak dapat melakukan dua perkara di dalam satu masa. Antara pelajaran dan kedua ibubapaku. Tetapi yang pasi, kedua duanya telah merestui pemergian aku ke sini.Dan sebagai manusia aku tidak mampu untuk menghalangnya. Kepada yang masih ada ibu dan bapa, hargailah mereka. Jagalah mereka hingga akhir hayat mereka. Keluar airmata darah sekalipun, kita tidak akan dapat bertemu dengan mereka lagi jika mereka telah pergi. Yang pasti, kita akan hargai dan merasai kehilangan mereka yang kita sayangi jika mereka tiada lagi di sisi kita. Dan sebagai manusia biasa yang lemah, kita tidak akan dapat melawan qada' dan qadar yang telah dijanjikan. Hanya doa, usaha dan tawwakal sahaja yang mampu kita lakukan.Takdir mengatasi segala galanya.


'Ya Allah ya tuhanku, golongkanlah arwah kedua ibubapaku di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Peliharakanlah arwah mereka berdua sebaik baik nya sepertimana mereka telah memelihara aku dengan sebaik baik nya semasa aku kecil hingga mereka menghembuskan nafas terakhir'-Al Fatihah...

NKRA pencetus kegemilangan negara


Salam,
Langkah kerajaan memperkenalkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baru baru ini adalah tepat pada masanya. Enam bidang tersebut adalah memperkasakan prasarana luar bandar dan pendalaman, menambah baik pengangkutan awam, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, memerangi rasuah, mengurangi kadar jenayah dan kadar kemiskinan.

Rakyat perlu diberikan penerangan melalui risalah, akhbar dan media electronic tentang kesemua bidang ini di mana sahaja mereka berada dari masa ke semasa supaya mereka faham dan bersama berganding bahu untuk menjadikan Plan Tranformasi Kerajaan (GTP) ini menghasilkan kejayaan.

Memerangi rasuah adalah perkara pokok di dalam merealisasikan kesemua enam bidang tersebut. Ini adalah kerana kesemua bidang tersebut adalah berkait rapat dengan perlaksanaan yang akan melibatkan pegawai kerajaan dan juga swasta serta rakyat yang perlukan keikhlasan untuk bersama menjadikannya suatu realiti.

Mengurangi kadar jenayah adalah kedua utama kerana ianya melibatkan soal keselamatan rakyat dan juga pertumbuhan ekonomi negara. Rakyat yang sihat dan selamat adalah pemacu kepada kenaikan pendapatan negara kerana menarik minat pemodal asing untuk melabur dalam jangkamasa yang panjang.

Jika dilihat di UK ini, kadar jenayah adalah terkawal. Memang tidak dinafikan kadar jenayah adalah lebih tinggi di bandar besar tetapi kecekapan pihak berkuasa menyelesaikannya dalam jangkamasa yang pendek. Ini adalah kerana cara perlaksanaan nya yang boleh dikatakan amat berkesan. Sebagai contoh jika kita pergi ke bandar, kita akan dapat melihat atau terpandang akan kamera keselamatan yang dipasang di tempat tertentu seperti di tempat tumpuan awam, stesen minyak, pasaraya, stesen bas dan lain lain, yang terus boleh dipantau oleh pihak polis selama 24 jam.

Baru baru ini lapuran akhbar Metro UK menyatakan terdapat hampir 20,000 unit kamera beroperasi di seluruh bandar dan pekan di UK. Walaupun terdapat aduan tentang kebebasan individu dan juga kekurangan kakitangan untuk memantau disebabkan bilangan kamera ini, tapi hasilnya adalah amat baik. Dengan adanya kamera ini pihak polis akan bertindak dalam waktu yang amat singkat jika berlaku sesuatu jenayah tersebut.

Di kawasan kejiranan pula, polis akan memantau dengan berjalan kaki dan juga dengan kereta peronda. Setiap setahun sekali atau jika berlaku jenayah di kawasan tersebut, pihak polis akan menghantar borang soal selidik berkenaan dengan kawasan kejiranan tersebut dan dipulangkan untuk tindakan mereka. Mereka juga menubuhkan pasukan pemantauan keselamatan yang terdiri dari komuniti kawasan tersebut (seperti rukun tetangga di Malaysia), dan mereka ini sentiasa berhubung dengan pihak polis.

Penambahbaikan prasarana luar bandar dan pengangkutan awam perlu bergerak seiring untuk memastikan kawasan pendalaman dapat dimajukan sinonim dengan kepesatan kemajuan di bandar. Ini akan memastikan akses untuk pendidikan berkualiti dapat disalurkan kepada kawasan pendalaman. Ini juga akan dapat menarik minat pelajar dari luar untuk datang ke Malaysia kerana pendidikan yang ditawarkan setaraf dengan negara maju. Ini juga akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan kerana rakyat di desa dan di bandar akan dapat menikmati pendidikan yang berkualiti yang akan mengubah nasib mereka. Dengan ilmu sahaja akan dapat merubah tahap pemikiran rakyat di samping meningkatkan pendapatan setelah mempunyai pendidikan.

Sekian


Artikel ini telah diterbitkan di akhbar Berita Harian bertarikh 6/1/10-Rabu
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20100105225236/Article/

Friday 18 December 2009

Kejadian Snow


Salam,
Salji mula menampakkan diri setelah bertahun tahun tidak menimpa bumi UK terutama di sebelah Selatan. Bermula dengan kedatangan nya awal tahun ini (2009), pihak kerajaan UK seperti tidak bersedia untuk menyambutnya sedangkan lapuran forecast di sini memang 95% adalah tepat. Lapuran akhbar tempatan menyatakan pihak council di beberapa bandar utama kehabisan sumber bekalan garam yang amat berguna untuk mengatasi masalah di jalanraya dan juga di lapangan terbang.

Seperti sedia maklum, garam ini digunakan untuk mencairkan timbunan salji yang tebal terutama di jalanraya dan juga di landasan kapalterbang. Kejadian salji yang tebal ini yang melanda UK sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada pihak berwajib akan kepentingan untuk sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan tersebut berlaku lagi di musim ini. Kejadian kekurangan garam ini telah menyebabkan keadaan yang sedikit bercelaru. Teringat saya di mana semua sistem pengangkutan telah dibatalkan kecuali Tram, dan ini menyukarkan pengguna untuk berhubung dengan tempat kerja, ke sekolah, ke pejabat, ke universiti dan lain lain.

Walauapapun yang berlaku, manusia hanyalah dapat merancang dan bersedia setakat kemampuan yang ada. Perlu diingat, walau secanggih manapun kelengkapan yang ada, jika tidak mendapat keizinan dari Allah yang maha berkuasa, sekelip mata sahaja kita tidak akan dapat mengatasinya.

Oleh itu, apapun yang kita lakukan, kita mestilah sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar kita diberi kekuatan dan semangat untuk terus menghadapi segala dugaan dan cabaran, dan sentiasa ingat bahawa segala kejadian di muka bumi ini adalah dengan keizinan yang maha berkuasa.

Kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Tapi jangan pula kita lemah semangat dengan menyatakan tak perlu kita buat kerana kita rasa kita tak boleh melakukannya, kerana setiap perbuatan yang baik itu yang bertunjangkan kepada niat yang ikhlas, pasti ada ganjarannya di sisi Allah, walaupun kita gagal untuk melaksanakannya. Yang pasti, hati kita mestilah ikhlas dan sentiasa memohon keampunan dari yang maha esa, setiap masa, setiap detik, hingga ke nafas yang terakhir.

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1431-tekadkan hati, bulatkan azam untuk terus mencapai kejayaan yang diimpikan di dunia dan di akhirat.

p/s:Maaf jika saya buat salah di dalam penulisan saya ini dan sebelumnya.

Sunday 13 December 2009

Suratan Hidup II..


Salam,
Kita dihidangkan dengan pelbagai peristiwa sedih dan duka atas kehilangan orang tersayang. Hakikatnya, semua mahluk di dunia ini akan pasti merasai kehilangan termasuklah yang bukan manusia.Itulah ketentuan ilahi. Allah akan menguji setiap manusia dengan pelbagai ujian ujian, semoga kita bertaqwa.

Bila membaca keratin keratan akhbar di tanahair, yang berkisah kepada kemalangan etc, maka akan ada jiwa yang melayang. Adakah ini suratan atau kelalaian manusia itu sendiri. Pelbagai faktor perlu dilihat oleh semua yang terlibat di dalam mengurangkan mangsa mangsa yang tidak berdosa.

Jika dilihat di UK ini, undang2 jalanraya amatlah ketat. Justeru itu kadar kemalangan yang berlaku adalah kecil. Dan ini bolehlah kita katakan sebagai kemalangan. Tapi jika kadar kemalangan yang tinggi,maka itu adalah berpunca dari kelalaian manusia itu sendiri yang mungkin boleh dielak. Mungkin mentaliti masyarakat kita hari ini sudah tidak dapat dikawal lagi. Undang undang tidak mahu dipatuhi walhal undang undang tersebut adalah berguna untuk keselamatan. Kita selalu bercakap pasal berusaha, berdoa dan bertawakal tapi hakikatnya kita tidak mempraktikkan pun akan ajaran tersebut.

Memang ada yang berhati hati tapi jika sebelah pihak sahaja yang beringat, tidak akan menjadikan undang undang tersebut berkesan dan ini yang menyebabkan angka korban yang tinggi. Sebelum artikel ini di tulis, berlaku kemalangan maut yang melibatkan pengantin yang baru sahaja melangsungkan akad nikah. Memang kemalangan tersebut tidak dapat dielakkan kerana sebab teknikal, tapi jika kita selidik tentang keadaan bas yang bertembung dengan kereta tersebut.Adakah pemandu bas tersebut mengikut hadlaju yang dibenarkan? Di negara mat salleh ini, pemandu kenderaan yang besar sentiasa bersopan santun dengan pemandu kenderaan yang kecil. Kalau mereka melihat orang berjalan kaki pun yang ingin melintas, kenderaan yang ingin keluar simpang, mereka akan memperlahankan kenderaan dan memberi laluan kepada pejalan kaki dan kenderaan tersebut. Cuba kita fikir, itu pemandu yang bukan Islam yang mematuhi undang undang. Di negara kita, rata2 adalah pemandu pemandu yang berlesen tapi bila dah berada dijalanraya, kebanyakannya hilang pedoman.

Selagi kita tidak merubah mentaliti diri kita sendiri, selagi itulah akan ramai yang terkorban. Perlu diajar kepada murid2 yang berada sekolah rendah lagi akan kepentingan berhati hati di jalanraya dan juga semasa memandu. Pelajaran ini perlu diwajibkan untuk menengah rendah. Dengan ini sahaja akan dapat menyedarkan masyarakat kita secara jangka panjang. Bila sampai satu tahap nanti, semua masyarakat akan sedar kepentingan keselamatan di jalanraya kerana masyarakat adalah terbina dari budak budak yang kecil yang telah diajar sejak dari bangku sekolah lagi.

Sekian

p/s: Takziah dan Al Fatihah kepada yang telah kehilangan....


Artilce di atas telah diterbitkan di akhbar Berita Harian di halaman surat dari pembaca.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20091214014226/Article/index_html

Friday 11 December 2009

Suratan hidup...


Salam,
Baru je nak kata sesuai dalam keadaan arus kedinginan musim salju sekarang ini, dah ditimpa penyakit. Batuk, selsema dan demam datang dalam package yang sunggu sempurna. Terasa badan begitu lemah sekali. Ubat sentiasa ada tapi melengah lengahkan masa pengambilannya kerana tak mahu makan ubat yang mengandungi drug yang merosakkan untuk jangkamasa panjang.

Digagahkan juga badan ini untuk pergi ke universiti kerana ada perkara2 yang perlu diselesaikan. Masainilah terasa diri ini sangat lemah dan kerdil. Tiada satu kuasa pun yang dapat menghalang kekuasaan Allah jika sesuatu perkara itu nak berlaku.Mahu tak mahu terpaksa hadapi kenyataan. Semuanya ada hikmah tertentu yang manusia itu sendiri tidak mengetahuinya.

Awal pagi dah terjaga. Mungkin teringat kepada assignment yang perlu diselesaikan segera. Selesai sahaja meng-edit journal yang telah disemak oleh supervisor yang baik hati sangat, mulalah mengelamun...

Tak sabar sangat rasanya nak kembali ke tanahair tercinta. Tiada apa yang nak dikejar atau tiada siapa yang menunggu. Cuma kerinduan yang bersangatan terhadap kampung, sanak saudara dan rakan taulan yang membuatkan hati ini begitu meronta ronta untuk pulang. Tapi terfikir juga, bila dah kembali, suatu masa nanti akan rasa kerinduan pula akan kehidupan di sini. Semua itu adalah asam garam kehidupan. Manusia tidak akan puas di dalam menghadapi kehidupan ini kerana godaan nafsu yang berperingkat peringkat dan bermacam macam ragam.

Cuma adakah kita ini dapat mengawalnya atau kita ini akan dikawal olehnya, itu semua bergantung kepada hati kita dengan ajaran dan amalan yang dibuat. Yang pasti, jalan yang ada di depan kita adalah lurus. Kawalan adalah pada diri kita sendiri dengan panduan2 yang telah ditetapkan oleh Allah yang maha berkuasa, samada terjunam kejurang yang dalam, atau terus ke depan menuju kebenaran....

Thursday 3 December 2009

Winter..


Salam,
Sebut saja winter, dah meremang bulu roma. Memang sejuk. Tapi jika diamat amati akan kejadian musim tersebut, memang penurunan suhu dari autumn ke winter berperingkat peringkat. Dalam ertikata yang lain, tidak berlaku penurunan yang mendadak. Justeru itu, kesan kepada individu adalah tidak ketara. Tetapi memang berlaku perubahan dari segi kesihatan jika seseorang itu kurang daya tahan seperti batuk, selsema dan demam.

Aku pula alhamdulillah, tidak terasa sangat akan perubahan tersebut. Mungkin telah agak lama di sini, dan telah terbiasa dengan perubahan tersebut. Cuma terasa juga nak demam tapi cepat cepat telan ubat dan berlaku juga keperitan tekak menandakan batuk akan menjelma. Walauapapun ianya adalah fenomena biasa di sini. Jika kita menaiki bas atau tram, akan kedengaran bunyi bunyi yang berbagai ragam dan melodi disebabkan fenomena pertukaran musim ini.

Memang dugaan agak besar bila tibanya winter. Rasa malas sangat nak bangun awal pagi disebabkan kesejukan yang amat sangat. Nak pergi ke Universiti pun rasa agak berat. Kaki ini terasa kaku bila melangkah keluar rumah. Tapi bila dah sampai, terasa lega disebabkan kepanasan yang tersedia di dalam bilik di universiti.

Apa apa pun, kita perlu menghadapi situasi ini kerana kita yang mahu ianya terjadi terhadap diri kita. Segala susah senang di perantauan akan menjadi memori indah yang tidak akan pudar dan lesap di telan waktu. Ianya akan kita hargai apabila kita telah tidak lagi berada di sini, seperti kata kata puitis, kita akan kenang sesuatu yang indah dan sedih itu jika ianya tidak lagi bersama kita...hanya bait bait rindu yang menjadi mimpi dan igauan tidur di dalam meniti hari hari mendatang...

s_a