Sunday 31 January 2010

Melangkah ke hadapan..


Salam,
Semalam dan hari ini aku meluangkan masa berjalan dan bersiar di kawasan yang aku tak pernah pergi. Telah 3 tahun lebih, barulah aku berpeluang untuk pergi ke situ. Mungkin kerana aku sibuk. Mungkin kerana aku rasakan tempat tersebut tak menarik. Atau mungkin aku rasakan tempat tersebut dekat dan tak perlu tergesa gesa untuk mengunjunginya.

Dalam perjalanan ke situ, aku mengelamun sambil memandu kereta aku yang gagah perkasa lagaknya. Aku teringat kepada lebuhraya yang tak kurang hebatnya di negara aku sendiri. Cuma bezanya di sini aku tak perlu membayar tol. Kalau di negara aku, di kiri kanan jalanraya tersebut banyak terdapat pokok2 tanaman pertanian, dan tak kurang juga hutan simpanan. Tetapi berlainan di sini, terdapat bukit dan ladang yang luas saujana mata memandang. Terdapat lembu2, kambing biri biri dan kuda kuda yang sedang khusyuk menjamah rumput rumput hijau yang enak di makan begitu sahaja.Begitu lapang rasanya fikiran yang barangkali sedang berkecamuk dengan kerja ilmiah yang belum selasai.

Aku juga teringat semasa aku memandu di beberapa buah negara di Europe yang lain. Phenomena dan lanskap nya agak serupa. Cuma di Spain, aku memandu di lingkaran banjaran nya yang curam dan melalui banyak terowong. Di Holand pula, 'highway'nya memang lurus dan kenderaan nya agak pantas meluncur di atas nya. Agak kekok juga pada mulanya kerana maklumlah, pemanduan semuanya di sebelah kiri. Apabila berada di Italy, kecanggihan keretapi lajunya memang mengkagumkan. Setiap terminal begitu ramai pengunjungnya. Masing2 berlari lari anak untuk mengejar keretapi yang akan membawa mereka ke destinasi yang hendak di tuju.

Lamunan aku terhenti seketika apabila member memberitahu ingin singgah di tempat rehat dan rawat untuk melunaskan hajat masing2. Keadaan di sini memang sama dengan keadaan di negara aku yang sedang pesat membangun. Semuanya ingin melangkah ke hadapan dengan jaya dan cemerlang. Sudah menjadi tugas kita sebagai warganegara yang merdeka dan masih muda, untuk bangun selari dengan kepesatan pembangunan negara2 luar terutama negara2 dunia pertama.

Oleh itu, tenaga2 muda yang masih belajar dan sedang menuntut ilmu, marilah kita bersama untuk membangunkan negara kita yang sedang menuju ke puncak kejayaan, dan lupakan sengketa yang sedikit sebanyak akan menjejaskan keharmonian negara yang sedang melangkah ke hadapan di persada dunia.

Ingatlah, keamanan sekarang ini yang dinikmati oleh semua golongan masyarakat, menjadi faktor utama untuk kita menuju kejayaan. Perosak keamanan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan kejayaan kita ini dan seharusnyalah generasi muda sekarang sentiasa meningkatkan jati diri untuk bersama mempertahankan keharmonian sesama kaum di negara kita.

Kita perlu menjadikan persengketaan di negara2 luar sebagai iktibar kerana jika telah terjadi permusuhan sesama kita, keamanan sukar untuk dikembalikan. Bukan orang lain yang sengsara, tetapi kita juga yang menerima padahnya kerana permusuhan yang kita sendiri tidak tahu di mana punca sebenarnya.

sekian

Thursday 28 January 2010

Masa..


Salam,
Begitu pantas sekali masa berlalu. Sedar tak sedar, dah penghujung bulan Januari. Rasa baru sahaja tahun baru menjelma.Begitulah hayat kita di dunia ini. Makin hari, makin dekat dengan kematian. Penghidupan semakin jauh ditinggalkan. Tapi sebagai umat Islam, kita mesti meneruskan hidup ini dengan hati yang tenang dan sentiasa bersyukur.

Masa yang ditinggalkan memang tak akan dapat dikembalikan lagi.Oleh itu ruang dan sisa hidup yang masih ada ini eloklah dimanfaatkan dengan perkara perkara yang berfaedah dan memberi keuntungan kepada kita baik di dunia ini maupun di akhirat kelak.Setiap detik, saat, jam, hari, bulan, tahun, berjalan tanpa menanti kita. Samada kita ditinggalkan masa atau sebaliknya, masa meninggalkan kita, perancangan perlu dibuat sebagai pedoman untuk kita merancang masa depan yang bersinar. Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan kemahuan.

Kepada pemuda dan pemudi yang masih berjuang untuk kehidupan yang baik di masa depan, teruskanlah perjuangan kalian sehingga berjaya dan dapat berbakti kepada bangsa dan negara. Kepada yang telah berjaya, teruskan kejayaan anda sehingga mencapai yang terbaik di kalangan yang terbaik. Kepada yang masih gagal, teruskan usaha anda, kerana percayalah setiap usaha itu akan ada ganjarannya, samada cepat atau lambat sahaja. Yang penting, perlu ada kesabaran dan kesungguhan.

Bagi aku, masa yang lalu, sekarang dan akan datang telah aku sematkan di dalam memori aku. Aku telah merancang masa depan ku untuk sepuluh tahun yang akan datang. Semuanya telah ada dan sedang berusaha kearah itu. Tapi memang aku sentiasa ingat bahawa, kita sebagai manusia hanya mampu merancang, yang menentukan segalanya ialah Allah yang maha berkuasa. Jika niat kita baik dan suci, setiap perlakuan kita itu akan ada ganjarannya.

Maka marilah kita sama sama berniat, bahawa suatu masa yang akan datang,kita akan lebih berjaya dari hari ini dan semalam. Dan kita juga jangan lah alpa untuk mengerjakan suruhan Allah kerana setiap masa yang kita gunakan di dunia ini akan di hisab di akhirat nanti.

sekian

Saturday 23 January 2010

Insan...



Salam,
Bila kita sebut sahaja pasal insan, ianya membawa beberapa pengertian. Dan yang nak saya coretkan di sini ialah insan yang bernama manusia. Manusia yang dilahirkan dengan sifat2 yang sempurna. Manusia yang dicipta dengan pelbagai karenah. Manusia yang ujud dengan berbilang bangsa. Manusia yang mempunyai pelbagai watak. Watak yang sentiasa berlakun dan beraksi di pentas dunia yang menghasilkan satu sandiwara.Dunia yang indah yang dijadikan begitu luas bak terbentangnya permaidani.Dunia di mana manusia mencoretkan seribu kelakuan.Kelakuan yang mempunyai kepelbagaian watak.Berbahagialah mereka yang berwatak baik. Sengsaralah mereka yang bertopengkan iblis.

Jika dilihat dan direnungi akan manusia hari ini, masing2 sibuk mengejar kedudukan, pangkat dan harta. Sedangkan dunia sebenarnya telah terlalu uzur. Bencana2 alam semakin kerap berlaku. Peperangan seperti tiada berpenghujung. Kebuluran berlaku ditengah2 masyarakat bangsa lain yang bermewah-mewahan.Apakah perasaan insan2 yang bernama manusia ini? Tidak adakah sekelumit rasa belas kasehan terhadap insan2 lain yang kebuluran, yang mati dibom saban hari, yang dirobek maruah mereka, yang ditindas kerana miskin. Mungkin telah hilang di hati mereka rasa belas kasihan,rasa kemanusiaan, rasa yang mereka juga adalah manusia.

Beruntung lah manusia yang lahir di dalam keadaan beriman dan bertakwa. Boleh hidup aman dan damai. Boleh hidup berkasih-kasihan. Boleh belajar setinggi yang mungkin. Boleh membina hidup berkeluarga.Dan yang pasti, bila mati akan berada di tempat yang bahagia yang telah dijanjikan oleh yang maha esa.

Sebagai insan yang mempunyai tanggungjawab terhadap bangsa, agama dan negara, kita seharusnya bertekad untuk terus maju kehadapan, dan janganlah kita berpecah belah kerana keamanan amatlah susah untuk dinikmati jika kita telah tidak lagi bersatu. Sejarah membuktikan bahawa kaeamanan sesebuah negara itu dikecapi setelah banyak jiwa-jiwa yang terkorban.Musuh musuh negara tidak tidur siang maupun malam di dalam usaha untuk memporak-perandakan negara kerana mereka amat risau jika keamanan yang dirasakan sehingga kini, kekal untuk selamanya...

sekian

Thursday 14 January 2010

Facebook


Sham termenung sendirian sambil membelek belek journal yang entah kesekian kalinya dibaca. Sekali sekala dibukanya internet untuk melihat dan membaca 'facebook' yang di dalamnya terdapat pelbagai karenah sahabat sahabat yang tinggal di merata tempat. Ada yang sedang belajar. Ada yang telah pun berkerja. Ada yang mencari cari 'teman'. Ada yang sekadar untuk berkongsi maklumat dan bersenda gurau untuk melepaskan rasa kesunyian.Dan ada pulak yang suka berceloteh. Tak kurang juga yang rindu merindui. Begitulah ragam sahabat sahabat yang menghuni 'facebook' tersebut.

Sham tersenyum penuh bermakna. Itulah kecanggihan teknologi zaman sekarang. Tak perlu kenal, tapi melaluinya macam adik beradik lagaknya.Tak perlu keluar rumah untuk ber 'dating' dan yang pasti nyamuk tak kan dapat mengigit merpati dua sejoli yang sedang dilamun cinta. Dan pak imam pak imam merasa lega sebab tak perlu 'skodeng' di taman taman atau di belukar belukar untuk mencegah kemungkaran. Yang duduk beribu batu pun dapat merasai kenikmatan 'bercinta'.Bercinta dengan 'kekasih' yang berada di alam 'maya'.Bestkan...Cuma yang pasti sediakan duit untuk membayar 'bill' yang pastinya akan naik seperti naiknya mentari pagi di ufuk timur.

Dengannya juga dapat diketemukan sahabat sahabat yang sekian lama terpisah kerana tugas masing masing. Bila dah berjumpa macam macam karenahlah. Dan melalui teknologi ini, dapatlah dibuat 'reunion' semula untuk mengeratkan persahabatan yang hampir luput di telan waktu.Tak kurang juga yang berbincang tentang isu isu politik semasa yang menjadi bualan hangat di kedai kedai kopi. So, bukan sahaja ayah ayah yang berceloteh di kedai kopi, malah anak anak juga tumpang semangkuk. Tapi bezanya di kedai kopi yang canggih.

Walaupun begitu, terdapat juga kekurangan dari segi penggunaan masa. Bila dah asyik menulis, mengomen dan ber 'chating', maka sedar tak sedar dah pukul 3 pagi.Kerja ke mana, study ke mana. Tapi itulah lumrah kejadian manusia. Seronok dengan benda benda yang menyeronokkan. Cuma kita perlulah pandai di dalam membahagikan masa untuk melayan karenah 'facebook' ini.

Sham tersedar bahawa dirinya juga sudah menjadi 'ketagih' dengan facebook ini. Tetapi ketagihan ini sedikit sebanyak telah menghilangkan rasa kesunyian di hatinya....

Thursday 7 January 2010

Avatar


Salam,
Mula mulanya terasa tidak ada apa yang menarik dengan tajuk Avatar sehinggalah aku sendiri menontonnya.Rata rata peminat filem di seluruh dunia termasuk malaysia menyatakan rasa amat berpuas hati akan filem tersebut.Dari segi arahan, grafik dan jalan ceritanya memang hebat. Message yang hendak disampaikan kepada semua penonton adalah hubungan kemanusiaan dengan kerakusan pihak tertentu menunjukkan kuasa mereka yang pada anggapan mereka tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Berbalik kepada kongsep cerita tersebut, sebagai umat islam ada sedikit penyelewengan dari konsep akidah kerana dalam filem tersebut unsur2 tidak logik seperti kuasa alam yang boleh mengawal fikiran dan integrasi antara spiritual semua mahluk di planet tersebut walaupun unsur2 moden seperti boleh memuat-turun data2untuk berinteraksi antara makhluk di planet tersebut. Bagi kita sudah tentu Allah lah yang maha berkuasa.

Tetapi message yang hendak disampaikan adalah sinonim dengan keadaan dunia sekarang ini. Kuasa besar akan berbuat apa sahaja untuk merampas sesuatu yang menjadi milik orang lain tanpa memikirkan kesan disebalik tindakan tersebut. Di dalam filem ini satu jenis logam menjadi rebutan yang mana ianya simbolik kepada emas hitam dan gas asli yang menjadi rebutan sekarang ini oleh kuasa barat.

Di dalam filem ini juga diterapkan nilai kasih sayang yang menjadi tunjang utama kesepakatan sesuatu kaum itu untuk bersatu menentang kejahatan yang akhirnya boleh ditewaskan.

Juga nilai2 cinta yang berputik apabila seseorang itu mengenal hati budi orang lain yang bersemi di lubuk hati walaupun masing masing tidak pernah kenal sebelum itu.

Walauapapun pemahaman seseorang itu selepas menonton filem ini, yang pasti sebagai umat islam, cinta kepada Allah dan rasulNYA adalah cinta sejati yang membawa kebahagian di dunia dan di akhirat. Cinta kepada insan lain pun perlu demi untuk memupuk keharmonian hidup. Tetapi seperti yang kita sedia maklum, cinta kepada insan adalah cinta yang tidak akan kekal dan mungkin tidak akan membawa kebahagian...

sekian