Thursday 28 January 2010

Masa..


Salam,
Begitu pantas sekali masa berlalu. Sedar tak sedar, dah penghujung bulan Januari. Rasa baru sahaja tahun baru menjelma.Begitulah hayat kita di dunia ini. Makin hari, makin dekat dengan kematian. Penghidupan semakin jauh ditinggalkan. Tapi sebagai umat Islam, kita mesti meneruskan hidup ini dengan hati yang tenang dan sentiasa bersyukur.

Masa yang ditinggalkan memang tak akan dapat dikembalikan lagi.Oleh itu ruang dan sisa hidup yang masih ada ini eloklah dimanfaatkan dengan perkara perkara yang berfaedah dan memberi keuntungan kepada kita baik di dunia ini maupun di akhirat kelak.Setiap detik, saat, jam, hari, bulan, tahun, berjalan tanpa menanti kita. Samada kita ditinggalkan masa atau sebaliknya, masa meninggalkan kita, perancangan perlu dibuat sebagai pedoman untuk kita merancang masa depan yang bersinar. Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan kemahuan.

Kepada pemuda dan pemudi yang masih berjuang untuk kehidupan yang baik di masa depan, teruskanlah perjuangan kalian sehingga berjaya dan dapat berbakti kepada bangsa dan negara. Kepada yang telah berjaya, teruskan kejayaan anda sehingga mencapai yang terbaik di kalangan yang terbaik. Kepada yang masih gagal, teruskan usaha anda, kerana percayalah setiap usaha itu akan ada ganjarannya, samada cepat atau lambat sahaja. Yang penting, perlu ada kesabaran dan kesungguhan.

Bagi aku, masa yang lalu, sekarang dan akan datang telah aku sematkan di dalam memori aku. Aku telah merancang masa depan ku untuk sepuluh tahun yang akan datang. Semuanya telah ada dan sedang berusaha kearah itu. Tapi memang aku sentiasa ingat bahawa, kita sebagai manusia hanya mampu merancang, yang menentukan segalanya ialah Allah yang maha berkuasa. Jika niat kita baik dan suci, setiap perlakuan kita itu akan ada ganjarannya.

Maka marilah kita sama sama berniat, bahawa suatu masa yang akan datang,kita akan lebih berjaya dari hari ini dan semalam. Dan kita juga jangan lah alpa untuk mengerjakan suruhan Allah kerana setiap masa yang kita gunakan di dunia ini akan di hisab di akhirat nanti.

sekian

No comments:

Post a Comment